Tuesday, January 4, 2011

Pendaki Malaysia Kurang Kesedaran Sivik

Pendaki Malaysia kurang kesedaran sivik

Gunung Tahan adalah di antara anugerah Tuhan kepada umat manusia. Keindahannya memang sukar untuk diluahkan dengan kata-kata. Pemandangan di kawasan yang melebihi 2000 meter ke atas sukar untuk ditemui di mana-mana tempat yang lain. “The journey is worth it�. Itulah kata-kata yang selayaknya. Walaupun pendakian menuju ke puncak adalah mencabar, namun ianya dikira berbaloi kerana disajikan dengan pemandangan-pemandangan yang menyentuh hati. Dihiasi lagi dengan pelbagai jenis tumbuhan yang beraneka jenis, bunga-bunga liar yang cantik serta haiwan-haiwan yang sukar ditemui, Gunung Tahan dilihat sebagai syurga bagi para pendaki.

Malang sekali, terdapat segelintir pendaki yang tidak mempunyai kesedaran dalam memelihara anugerah Tuhan ini. Lebih malang lagi, pendaki-pendaki yang dimaksudkan ini adalah rakyat Malaysia sendiri. Ini memang diakui oleh hampir semua pemandu arah gunung yang membawa pendaki-pendaki. Menurut mereka, kebanyakan pendaki-pendaki dari Negara kita kurang menitikberatkan soal kebersihan terhadap persekitaran hutan dan sering sesuka hati membuang sisa-sisa seperti plastik dan suratkhabar. Paling menyedihkan, puntung-puntung rokok berselerakan di tapak-tapak perkhemahan. Ini ternyata amat berbeza dengan sikap pendaki-pendaki daripada Negara luar terutamanya dari Barat.

Memang saya akui perkara sebegini memang benar berlaku dan ianya adalah amat menyedihkan. Walaupun Taman Negara menetapkan peraturan untuk membawa turun apa yang dibawa semasa pendakian sekalipun kertas pembalut gula-gula, namun entah di mana silapnya, perkara-perkara penguatkuasaan kurang dititikberatkan. Ada pendaki yang meninggalkan pakaian kotor seperti baju dan stokin mereka di tapak-tapak perkhemahan dan membuang bekas plastik ke dalam sungai. Saya berpendapat bahawa pemandangan dari Kem Gunung Gedung menuju ke puncak Gunung Tahan adalah yang paling indah pernah saya saksikan, namun betapa kecewanya hati saya apabila terjumpa segumpalan plastik dan suratkhabar yang berlonggokan di bawah sepohon pokok renek yang berbunga cantik.

Pada pendapat saya, pendaki-pendaki yang mempunyai sikap buruk seperti ini tidak layak untuk menjejakkan kaki di atas puncak gunung. Mereka mendaki hanya untuk memenuhi aktiviti rekreasi sosial tanpa mempedulikan soal menghargai hutan Negara kita. Seharusnya sikap seperti ini dihindari kerana ianya akan menjejaskan reputasi hutan Taman Negara yang terkenal dengan keindahan hutan hujan tropikanya. Adalah penting untuk setiap pendaki menanamkan kesedaran sendiri untuk memelihara hutan di Taman Negara supaya kita tidak akan malu untuk mewariskannya kepada generasi yang akan datang.

No comments:

Post a Comment